Powered by Blogger.

Aspire to Inspire



Karya ini merupakan catatan kembara Buya Hamka ke Amerika selama 4 bulan dari 25 Ogos hingga 25 Disember tahun 1952.  Penulisan yang agak santai dan menarik untuk dibaca. Kembara beliau ke bumi Amerika bukanlah jalan-jalan makan angin tetapi perjalanan beliau ke sana sebagai seorang Pegawai Tinggi dari Kementerian Agama dalam Republik Indonesia. Bahagian jilid 1 ini, Hamka lebih banyak menyatakan pandangan beliau sepintas lalu tentang tempat-tempat yang diziarahi, universiti yang dimasuki, gereja yang didatangi melalui Washington D.C, New York City dan State, Illionis, Michigan, Colorado, Utah, California, Arizona, Louiziana, Florida dan lain-lain. Dalam jilid kedua barulah beliau tuliskan kesan-kesan, perbandingan, tinjauan, kelebihan orang, kekurangan kita atau sebaliknya.



Walaupun Hamka ke Amerika memegang jawatan sebagai Pegawai Agama di Indonesia, secara tidak langsung beliau juga mewakili kaum-kaum Melayu di Malaysia. Buktinya, diberi peluang menyampaikan kuliahnya di Amerika, Hamka tidak segan mengatakan bahawa Bahasa Melayu lamalah yang menyatukan antara Malaya dan Indonesia.

Pengalaman beliau ketika di Hollywood agak menarik apabila Hamka menyatakan pandangan beliau tentang filem walaupun beliau seorang agamawan. Beliau menyatakan di Hollywood yang sebenarnya tidak ada orang bermain anggar (berkelahi dengan pedang), tidak ada cowboy. Lautan berombak ialah tempat kecil yang digerakkan dengan mesin. Kapal terbang jatuh adalah sebesar mainan kanak-kanak.

Ketika di Chicago, Hamka berpeluang melawat ke Muzium Negara yang memelihara warisan-warisan lama dari pelbagai negara sehinggakan Hamka sendiri tergamam apabila melihat warisan Minangkabau yang jarang dilihat di tempatnya iaitu Muzium Bukit Tinggi, Minangkabau. Ini tidak menghairankan yang mana sekarang ini, masih banyak lagi warisan-warisan negara (Malaysia) yang masih berada di negara orang sehinggakan jika ada keperluan untuk kita merujuk, kita terpaksa ke luar negara bagi melihat warisan tersebut.

Namun, di sebalik kebaikan yang ada pada Amerika, mereka juga tidak terlepas daripada sisi-sisi gelap yang menyelubungi negara mereka ketika itu. Ketika beliau meziarahi Selatan Amerika iaitu di Texas, Hamka mendapati bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan anti kepada kaum kulit hitam sehinggakan terdapat ruang pengasingan seperti bilik menunggu, tempat duduk kapal terbang, tempat makan dan sebagainya. Di sebalik kemajuan yang dikecapi oleh Amerika, isu perkauman/etnik masih lagi berleluasa pada ketika itu.

Di bahagian akhir karya ini agak mengujakan ketika membaca kisah Father Divine yang mana Hamka menziarahi seorang tokoh mengaku dirinya sebagai tuhan. Walaupun dalam hatinya juga terdapat sedikit skeptik, tetapi beliau tetap memberi pandangan tentang mengapa tokoh tersebut sampai ke tahap mengaku sebagai tuhan.

Terlalu banyak sisi lain yang kita boleh lihat melalui penulisannya kerana Hamka bukan hanya sekadar seorang ulama'. Ketokohan beliau sedikit sebanyak perlu kita contohi sebagai seorang mahasiswa Islam yang akan keluar kepada masyarakat menjadi rujukan dalam segenap perkara. Masyarakat tidak bertanyakan kita tentang bidang yang kita pelajari akan tetapi apabila kita seorang pelajar pengajian Islam, segenap perkara berkaitan agama akan dijadikan kita sebagai rujukan. Oleh itu, pentingnya kita untuk menguasai pelbagai cabang ilmu bagi mendepani kekeliruan dan kejahilan masyarakat supaya kita dapat menjadi ejen pencerahan dan bukan menjadi fitnah kepada agama Islam sendiri..


Share
Tweet
Pin
Share
No comments

Hai Assalamualaikum..

Mesti ramai student U sekarang yang tengah ber ‘online class’ sepanjang PKP ni kan. So Faz pun tak terkecuali antara student yang terpaksa melalui norma baharu ni dengan segala kelas, kuliah, tutorial semuanya secara atas talian. Satu pengalaman barulah bagi kami student universiti, yelah bayangkan selama ni kita pergi kelas mesti kena bersiap-siap cantik kemas dengan laptopnya, beg sekolah, buku nota, botol air, duduk atas kerusi, tulis nota, tengok muka lecturer tiba-tiba berubah 360 darjah kena duduk di rumah buka laptop, handphone, tablet kena akses kuliah semuanya atas talian. Sebenarnya ramai kawan-kawan Faz mengadu ‘cannot go’ dengan norma baharu ni, lecturer ajar pun tak faham, kadang duduk rumah biasalah ada gangguan-gangguan kejap mak suruh masak, sidai kain so memasing tak boleh fokus. Faz tak nafikan lah benda tu, tapi dalam kita merungut tu kan, haa sebenarnya banyak sangat hikmah dan nikmat ber online class ni tau. Meh sini Faz nak cerita sikit..

First, duit belanja korang jimat. Selama ni korang spend duit dekat U untuk apa? Mostly akan jawab untuk makan. Kalau shopping ke lain-lain tu terkecuali lah ye tapi the basic one semua orang spend is makan lah kan. Bayangkan, korang spend RM 10 sehari untuk makan sahaja dan sebulan jumlahnya RM 300. Kat sini korang dah boleh jimat RM 300 taw. Banyak ke tidak? Haha. Yang dapat biasiswa dengan pinjaman tu korang boleh jadikan simpanan untuk masa depan. Yang guna biasiswa PaMa ni pulak korang sendiri dah jimatkan duit mak ayah korang sebab apa? Sebab makanan semuanya tersedia kat rumah kan. Nak makan bila-bila berapa kali pun tak kisah. Hehe.

Second, jimat masa korang nak pergi kelas. Selama ni kalau korang jenis yang selalu datang lewat ke kelas sebab nak bersiap-siap, kadang pagi tulah baru nak iron baju, nak kemas beg, lepastu nak tempuh jem lagi bagi yang duduk rumah sewa kat luar U, yang tunggu bas bagi yang duduk kolej semua ni memakan masa korang nak pergi kelas kan. Tapii semua masalah tu hilang bila korang hanya perlu duduk depan laptop dan tunggu lecturer bagi link Google Meet ke, Zoom ke, Webex ke atau apa-apa aplikasi atas talian untuk korang berkuliah atas talian ni. Lecturer pun tak teras hati ke apa sebab takde dah masalah lambat tu lagi.Haa. Banyakkan nikmat yang Tuhan bagi masa PKP ni. Hehe.

Ketiga, dapat luangkan masa lebih dengan keluarga. Yang ni of course lah. Keluarga ni mana boleh dicari ganti. Kau ada kawan ke awek ke sebaik mana pun, keluarga mesti no 1 yang ada dengan kita bila susah. Selama ni kalau kita belajar dekat U mungkin ada yang beralasan tak boleh balik rumah hujung minggu sebab ada program lah, projek lah dan sebagainya. Tapi betapa Maha Baiknya Tuhan ni bagi nikmat dekat kita supaya duduk rumah pada masa yang sama kita sendiri dapat luangkan masa dengan family. Hilang segala rasa rindu mak ayah, kakak, abang dengan kita yang selalu sibuk di universiti. Hehe.

Keempat, dapat berbakti dengan mak ayah kat rumah. Haa point ni pula berkait dengan point sebelum ni. Bila kita ada masa dengan family ni banyak, pahala nak berbakti dengan mak ayah pun banyak. Masa ni lah kita gunakan peluang yang ada tolong mak masak ke, sidai kain, basuh kain, kemas rumah dan sebagainya. Orang kata, PKP ni lubuk pahala kita dengan family.

Kelima, dapat beribadah dengan keluarga di rumah. Selama ni mungkin kita ni sejenis yang suka solat sendiri-sendiri atau kalau dekat U, tak pernah lagi solat dengan keluarga ramai-ramai. Hikmah juga PKP ni jatuh masa bulan ramadhan dan raya. Mesti solat terawih, tadarus semua buat dengan family kan. Mungkin selama ni kita buat dengan kawan-kawan dekat masjid tapi kalini sesama family. Sweet ke tidak? Hehe.

So last but not least, Faz nak pesan dalam kita merungut menghitung kekurangan itu ini, kenapa tidak kita hitung nikmat yang Tuhan kurniakan sebesar-besarnya depan mata kita. Kemudian, kita syukuri nikmat ni. Sedar ke tidak ada kawan-kawan kita yang tak dapat pun berpuasa, beraya dengan family sebab tak boleh rentas negeri sebelum ni. Kita syukur, Tuhan akan tambah lagi, lagi dan lagi.. Hehe.


Share
Tweet
Pin
Share
No comments


Buku ini merupakan karya pertama daripada dwilogi novel yang ditulis oleh Akmal Nasery Basral mengenai sejarah kehidupan Buya Hamka ; Setangkai Bunga di Taman Pujangga (kehidupan semasa kanak-kanak, remaja, sehingga usia 30 tahun) ditulis dalam bahasa Indonesia dan Serangkai Makna di Mihrab Ulama (kehidupan ketika usia 31 tahun sehingga meninggal dunia di usia 73 tahun).



Hamka yang dikenali oleh masyarakat Indonesia merupakan seorang tokoh ulama, Ketua Majelis Ulama Indonesia, penceramah, cendekiawan dan lain-lain. Namun di sebalik ketokohannya, beliau juga merupakan sosok anak yang merasa sakit hati pada masa kecilnya. Penceraian ibu bapanya, kerinduan terhadap ibunya dan hubungannya yang renggang dengan ayahnya sangat mempengaruhi sikap dan keperibadian Hamka ketika dewasa.

Malik atau nama penuhnya Prof. Dr. (HC) Haji Abdul Malik Karim Amrullah  merupakan nama pertamanya sebelum beliau dikenali sebagai Hamka juga menghadapi banyak kegagalan dan sakit hati baik dari segi pekerjaan dan percintaan. Beliau bahkan pernah mengasaskan 'perniagaan' majalah sendiri yang hanya berjaya menerbitkan beberapa edisi. Dari semua kisah yang tidak dihiasi dengan bunga-bunga indah inilah, kita dapat mengenali sosok manusia bernama Hamka yang pernah marah dan kecewa, yang pernah lari dari rumah dan merajuk dengan ibu bapanya, yang serupa dengan kita para pembaca.

Saya boleh simpulkan berdasarkan kisah ini bahawa, setiap orang mempunyai jalan cerita hidup masing-masing sama ada jalan cerita hidupnya itu dihiasi dengan bunga-bunga keindahan mahupun duri-duri kesakitan atau kesedihan. Hebatnya Buya Hamka, walaupun beliau mempunyai krisis keluarga yang menyebabkan ibu bapanya bercerai, hubungan beliau yang renggang dengan ayahnya, tidak menghalang beliau untuk bangkit meneruskan hidup pergi menjelajah mendalami ilmu agama dan memanfaatkan ilmunya kepada masyarakat. Buktinya dapat dilihat melalui ketokohan beliau sebagai seorang sasterawan, ulama', mufassir (tidak semua ulama' mampu menulis tafsir Al Quran) journalis dan lain-lain. 

Bukti lain pula, setiap tahun akan ada buku baharu tentang ketua pertama Majelis Ulama Indonesia (1975-1981) ini. Ini menunjukkan bagaimana Buya Hamka selalu 'hidup' di tengah masyarakat dan terus mendapatkan limpahan cinta umat yang rindu pada karakter beliau, keluasan wawasan dan kerendahan hati yang dimiliki beliau. 

Kisah ini juga menjadi refleksi kepada kita sebagai manusia biasa lantas diberi ujian berat dalam hidup, ke mana arah tuju kehidupan hendak dibawa, sama ada memilih untuk terus hidup dalam kesakitan atau memilih untuk bangkit meneruskan hidup mencapai matlamat asal kehidupan yang diredhai Allah. :)

*Nantikan review buku seterusnya daripada saya ya! 

Share
Tweet
Pin
Share
No comments
Newer Posts
Older Posts

Sponsor

About Me

My photo
Fazlia Hani
Malaysia
View my complete profile

Total Pageviews

Followers

Blog Archive

  • July 2020 (3)
  • December 2013 (4)

Created with by ThemeXpose