Powered by Blogger.

Aspire to Inspire



Karya ini merupakan catatan kembara Buya Hamka ke Amerika selama 4 bulan dari 25 Ogos hingga 25 Disember tahun 1952.  Penulisan yang agak santai dan menarik untuk dibaca. Kembara beliau ke bumi Amerika bukanlah jalan-jalan makan angin tetapi perjalanan beliau ke sana sebagai seorang Pegawai Tinggi dari Kementerian Agama dalam Republik Indonesia. Bahagian jilid 1 ini, Hamka lebih banyak menyatakan pandangan beliau sepintas lalu tentang tempat-tempat yang diziarahi, universiti yang dimasuki, gereja yang didatangi melalui Washington D.C, New York City dan State, Illionis, Michigan, Colorado, Utah, California, Arizona, Louiziana, Florida dan lain-lain. Dalam jilid kedua barulah beliau tuliskan kesan-kesan, perbandingan, tinjauan, kelebihan orang, kekurangan kita atau sebaliknya.



Walaupun Hamka ke Amerika memegang jawatan sebagai Pegawai Agama di Indonesia, secara tidak langsung beliau juga mewakili kaum-kaum Melayu di Malaysia. Buktinya, diberi peluang menyampaikan kuliahnya di Amerika, Hamka tidak segan mengatakan bahawa Bahasa Melayu lamalah yang menyatukan antara Malaya dan Indonesia.

Pengalaman beliau ketika di Hollywood agak menarik apabila Hamka menyatakan pandangan beliau tentang filem walaupun beliau seorang agamawan. Beliau menyatakan di Hollywood yang sebenarnya tidak ada orang bermain anggar (berkelahi dengan pedang), tidak ada cowboy. Lautan berombak ialah tempat kecil yang digerakkan dengan mesin. Kapal terbang jatuh adalah sebesar mainan kanak-kanak.

Ketika di Chicago, Hamka berpeluang melawat ke Muzium Negara yang memelihara warisan-warisan lama dari pelbagai negara sehinggakan Hamka sendiri tergamam apabila melihat warisan Minangkabau yang jarang dilihat di tempatnya iaitu Muzium Bukit Tinggi, Minangkabau. Ini tidak menghairankan yang mana sekarang ini, masih banyak lagi warisan-warisan negara (Malaysia) yang masih berada di negara orang sehinggakan jika ada keperluan untuk kita merujuk, kita terpaksa ke luar negara bagi melihat warisan tersebut.

Namun, di sebalik kebaikan yang ada pada Amerika, mereka juga tidak terlepas daripada sisi-sisi gelap yang menyelubungi negara mereka ketika itu. Ketika beliau meziarahi Selatan Amerika iaitu di Texas, Hamka mendapati bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan anti kepada kaum kulit hitam sehinggakan terdapat ruang pengasingan seperti bilik menunggu, tempat duduk kapal terbang, tempat makan dan sebagainya. Di sebalik kemajuan yang dikecapi oleh Amerika, isu perkauman/etnik masih lagi berleluasa pada ketika itu.

Di bahagian akhir karya ini agak mengujakan ketika membaca kisah Father Divine yang mana Hamka menziarahi seorang tokoh mengaku dirinya sebagai tuhan. Walaupun dalam hatinya juga terdapat sedikit skeptik, tetapi beliau tetap memberi pandangan tentang mengapa tokoh tersebut sampai ke tahap mengaku sebagai tuhan.

Terlalu banyak sisi lain yang kita boleh lihat melalui penulisannya kerana Hamka bukan hanya sekadar seorang ulama'. Ketokohan beliau sedikit sebanyak perlu kita contohi sebagai seorang mahasiswa Islam yang akan keluar kepada masyarakat menjadi rujukan dalam segenap perkara. Masyarakat tidak bertanyakan kita tentang bidang yang kita pelajari akan tetapi apabila kita seorang pelajar pengajian Islam, segenap perkara berkaitan agama akan dijadikan kita sebagai rujukan. Oleh itu, pentingnya kita untuk menguasai pelbagai cabang ilmu bagi mendepani kekeliruan dan kejahilan masyarakat supaya kita dapat menjadi ejen pencerahan dan bukan menjadi fitnah kepada agama Islam sendiri..


Share
Tweet
Pin
Share
No comments


Buku ini merupakan karya pertama daripada dwilogi novel yang ditulis oleh Akmal Nasery Basral mengenai sejarah kehidupan Buya Hamka ; Setangkai Bunga di Taman Pujangga (kehidupan semasa kanak-kanak, remaja, sehingga usia 30 tahun) ditulis dalam bahasa Indonesia dan Serangkai Makna di Mihrab Ulama (kehidupan ketika usia 31 tahun sehingga meninggal dunia di usia 73 tahun).



Hamka yang dikenali oleh masyarakat Indonesia merupakan seorang tokoh ulama, Ketua Majelis Ulama Indonesia, penceramah, cendekiawan dan lain-lain. Namun di sebalik ketokohannya, beliau juga merupakan sosok anak yang merasa sakit hati pada masa kecilnya. Penceraian ibu bapanya, kerinduan terhadap ibunya dan hubungannya yang renggang dengan ayahnya sangat mempengaruhi sikap dan keperibadian Hamka ketika dewasa.

Malik atau nama penuhnya Prof. Dr. (HC) Haji Abdul Malik Karim Amrullah  merupakan nama pertamanya sebelum beliau dikenali sebagai Hamka juga menghadapi banyak kegagalan dan sakit hati baik dari segi pekerjaan dan percintaan. Beliau bahkan pernah mengasaskan 'perniagaan' majalah sendiri yang hanya berjaya menerbitkan beberapa edisi. Dari semua kisah yang tidak dihiasi dengan bunga-bunga indah inilah, kita dapat mengenali sosok manusia bernama Hamka yang pernah marah dan kecewa, yang pernah lari dari rumah dan merajuk dengan ibu bapanya, yang serupa dengan kita para pembaca.

Saya boleh simpulkan berdasarkan kisah ini bahawa, setiap orang mempunyai jalan cerita hidup masing-masing sama ada jalan cerita hidupnya itu dihiasi dengan bunga-bunga keindahan mahupun duri-duri kesakitan atau kesedihan. Hebatnya Buya Hamka, walaupun beliau mempunyai krisis keluarga yang menyebabkan ibu bapanya bercerai, hubungan beliau yang renggang dengan ayahnya, tidak menghalang beliau untuk bangkit meneruskan hidup pergi menjelajah mendalami ilmu agama dan memanfaatkan ilmunya kepada masyarakat. Buktinya dapat dilihat melalui ketokohan beliau sebagai seorang sasterawan, ulama', mufassir (tidak semua ulama' mampu menulis tafsir Al Quran) journalis dan lain-lain. 

Bukti lain pula, setiap tahun akan ada buku baharu tentang ketua pertama Majelis Ulama Indonesia (1975-1981) ini. Ini menunjukkan bagaimana Buya Hamka selalu 'hidup' di tengah masyarakat dan terus mendapatkan limpahan cinta umat yang rindu pada karakter beliau, keluasan wawasan dan kerendahan hati yang dimiliki beliau. 

Kisah ini juga menjadi refleksi kepada kita sebagai manusia biasa lantas diberi ujian berat dalam hidup, ke mana arah tuju kehidupan hendak dibawa, sama ada memilih untuk terus hidup dalam kesakitan atau memilih untuk bangkit meneruskan hidup mencapai matlamat asal kehidupan yang diredhai Allah. :)

*Nantikan review buku seterusnya daripada saya ya! 

Share
Tweet
Pin
Share
No comments
Older Posts

Sponsor

About Me

My photo
Fazlia Hani
Malaysia
View my complete profile

Total Pageviews

Followers

Blog Archive

  • July 2020 (3)
  • December 2013 (4)

Created with by ThemeXpose