#REVIEW SETANGKAI BUNGA DI TAMAN PUJANGGA

by - 00:56



Buku ini merupakan karya pertama daripada dwilogi novel yang ditulis oleh Akmal Nasery Basral mengenai sejarah kehidupan Buya Hamka ; Setangkai Bunga di Taman Pujangga (kehidupan semasa kanak-kanak, remaja, sehingga usia 30 tahun) ditulis dalam bahasa Indonesia dan Serangkai Makna di Mihrab Ulama (kehidupan ketika usia 31 tahun sehingga meninggal dunia di usia 73 tahun).



Hamka yang dikenali oleh masyarakat Indonesia merupakan seorang tokoh ulama, Ketua Majelis Ulama Indonesia, penceramah, cendekiawan dan lain-lain. Namun di sebalik ketokohannya, beliau juga merupakan sosok anak yang merasa sakit hati pada masa kecilnya. Penceraian ibu bapanya, kerinduan terhadap ibunya dan hubungannya yang renggang dengan ayahnya sangat mempengaruhi sikap dan keperibadian Hamka ketika dewasa.

Malik atau nama penuhnya Prof. Dr. (HC) Haji Abdul Malik Karim Amrullah  merupakan nama pertamanya sebelum beliau dikenali sebagai Hamka juga menghadapi banyak kegagalan dan sakit hati baik dari segi pekerjaan dan percintaan. Beliau bahkan pernah mengasaskan 'perniagaan' majalah sendiri yang hanya berjaya menerbitkan beberapa edisi. Dari semua kisah yang tidak dihiasi dengan bunga-bunga indah inilah, kita dapat mengenali sosok manusia bernama Hamka yang pernah marah dan kecewa, yang pernah lari dari rumah dan merajuk dengan ibu bapanya, yang serupa dengan kita para pembaca.

Saya boleh simpulkan berdasarkan kisah ini bahawa, setiap orang mempunyai jalan cerita hidup masing-masing sama ada jalan cerita hidupnya itu dihiasi dengan bunga-bunga keindahan mahupun duri-duri kesakitan atau kesedihan. Hebatnya Buya Hamka, walaupun beliau mempunyai krisis keluarga yang menyebabkan ibu bapanya bercerai, hubungan beliau yang renggang dengan ayahnya, tidak menghalang beliau untuk bangkit meneruskan hidup pergi menjelajah mendalami ilmu agama dan memanfaatkan ilmunya kepada masyarakat. Buktinya dapat dilihat melalui ketokohan beliau sebagai seorang sasterawan, ulama', mufassir (tidak semua ulama' mampu menulis tafsir Al Quran) journalis dan lain-lain. 

Bukti lain pula, setiap tahun akan ada buku baharu tentang ketua pertama Majelis Ulama Indonesia (1975-1981) ini. Ini menunjukkan bagaimana Buya Hamka selalu 'hidup' di tengah masyarakat dan terus mendapatkan limpahan cinta umat yang rindu pada karakter beliau, keluasan wawasan dan kerendahan hati yang dimiliki beliau. 

Kisah ini juga menjadi refleksi kepada kita sebagai manusia biasa lantas diberi ujian berat dalam hidup, ke mana arah tuju kehidupan hendak dibawa, sama ada memilih untuk terus hidup dalam kesakitan atau memilih untuk bangkit meneruskan hidup mencapai matlamat asal kehidupan yang diredhai Allah. :)

*Nantikan review buku seterusnya daripada saya ya! 

You May Also Like

0 comments