Karya ini merupakan catatan kembara Buya Hamka ke Amerika selama 4 bulan dari 25 Ogos hingga 25 Disember tahun 1952. Penulisan yang agak santai dan menarik untuk dibaca. Kembara beliau ke bumi Amerika bukanlah jalan-jalan makan angin tetapi perjalanan beliau ke sana sebagai seorang Pegawai Tinggi dari Kementerian Agama dalam Republik Indonesia. Bahagian jilid 1 ini, Hamka lebih banyak menyatakan pandangan beliau sepintas lalu tentang tempat-tempat yang diziarahi, universiti yang dimasuki, gereja yang didatangi melalui Washington D.C, New York City dan State, Illionis, Michigan, Colorado, Utah, California, Arizona, Louiziana, Florida dan lain-lain. Dalam jilid kedua barulah beliau tuliskan kesan-kesan, perbandingan, tinjauan, kelebihan orang, kekurangan kita atau sebaliknya.
Walaupun Hamka ke Amerika memegang jawatan sebagai Pegawai Agama di Indonesia, secara tidak langsung beliau juga mewakili kaum-kaum Melayu di Malaysia. Buktinya, diberi peluang menyampaikan kuliahnya di Amerika, Hamka tidak segan mengatakan bahawa Bahasa Melayu lamalah yang menyatukan antara Malaya dan Indonesia.
Pengalaman beliau ketika di Hollywood agak menarik apabila Hamka menyatakan pandangan beliau tentang filem walaupun beliau seorang agamawan. Beliau menyatakan di Hollywood yang sebenarnya tidak ada orang bermain anggar (berkelahi dengan pedang), tidak ada cowboy. Lautan berombak ialah tempat kecil yang digerakkan dengan mesin. Kapal terbang jatuh adalah sebesar mainan kanak-kanak.
Ketika di Chicago, Hamka berpeluang melawat ke Muzium Negara yang memelihara warisan-warisan lama dari pelbagai negara sehinggakan Hamka sendiri tergamam apabila melihat warisan Minangkabau yang jarang dilihat di tempatnya iaitu Muzium Bukit Tinggi, Minangkabau. Ini tidak menghairankan yang mana sekarang ini, masih banyak lagi warisan-warisan negara (Malaysia) yang masih berada di negara orang sehinggakan jika ada keperluan untuk kita merujuk, kita terpaksa ke luar negara bagi melihat warisan tersebut.
Namun, di sebalik kebaikan yang ada pada Amerika, mereka juga tidak terlepas daripada sisi-sisi gelap yang menyelubungi negara mereka ketika itu. Ketika beliau meziarahi Selatan Amerika iaitu di Texas, Hamka mendapati bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan anti kepada kaum kulit hitam sehinggakan terdapat ruang pengasingan seperti bilik menunggu, tempat duduk kapal terbang, tempat makan dan sebagainya. Di sebalik kemajuan yang dikecapi oleh Amerika, isu perkauman/etnik masih lagi berleluasa pada ketika itu.
Di bahagian akhir karya ini agak mengujakan ketika membaca kisah Father Divine yang mana Hamka menziarahi seorang tokoh mengaku dirinya sebagai tuhan. Walaupun dalam hatinya juga terdapat sedikit skeptik, tetapi beliau tetap memberi pandangan tentang mengapa tokoh tersebut sampai ke tahap mengaku sebagai tuhan.
Terlalu banyak sisi lain yang kita boleh lihat melalui penulisannya kerana Hamka bukan hanya sekadar seorang ulama'. Ketokohan beliau sedikit sebanyak perlu kita contohi sebagai seorang mahasiswa Islam yang akan keluar kepada masyarakat menjadi rujukan dalam segenap perkara. Masyarakat tidak bertanyakan kita tentang bidang yang kita pelajari akan tetapi apabila kita seorang pelajar pengajian Islam, segenap perkara berkaitan agama akan dijadikan kita sebagai rujukan. Oleh itu, pentingnya kita untuk menguasai pelbagai cabang ilmu bagi mendepani kekeliruan dan kejahilan masyarakat supaya kita dapat menjadi ejen pencerahan dan bukan menjadi fitnah kepada agama Islam sendiri..